fb fb fb fb fb

Kerjasama semua pihak diperlukan tarik lebih banyak penerbangan – Loke

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan tanggungjawab menarik lebih banyak penerbangan ke lapangan terbang negeri bukan hanya terletak pada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya memerlukan usaha bersama.

Menurutnya, Lapangan Terbang Ipoh meskipun lebih kecil berbanding Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, telah mempunyai empat penerbangan harian ke Singapura dan menerima peruntukan RM50 juta bagi pengoptimuman operasi.

Sementara itu, LTSIP menerima peruntukan RM400 juta untuk kerja naik taraf.

“Setiap negeri hendak tarik lebih banyak penerbangan masuk ke lapangan terbang masing-masing, itu memang kita sokong. Tetapi janganlah meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri juga perlu berusaha bersama, termasuk dengan Tourism Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), bagi memasarkan lapangan terbang serta destinasi pelancongan supaya lebih banyak penerbangan masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary mengenai usaha terkini kerajaan bagi menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa, Loke memaklumkan terminal baharu lapangan terbang itu dijangka mampu menampung sehingga 4 juta penumpang setahun selepas projek naik tarafnya siap sepenuhnya.

Jelas Loke, fasa pertama projek telah siap pada 30 April 2024, dan kini memasuki fasa kedua, selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kapasiti lapangan terbang berkenaan.

"Kementerian Pengangkutan (MOT) juga sedang meneliti skop teknikal dan anggaran kos bagi pemanjangan landasan di LTSIP dengan tambahan 400 meter, menjadikan keseluruhan landasan 2,800 meter," katanya.

Loke turut menjelaskan, LTSIP kini boleh mengendalikan penerbangan antarabangsa, seperti lapangan terbang di Kuantan dan Ipoh, meskipun tidak dikategorikan secara rasmi sebagai lapangan terbang antarabangsa.

"Kerajaan sentiasa menggalakkan pembukaan laluan baharu, termasuk penerbangan antarabangsa, namun keputusan tersebut bergantung kepada daya maju komersial serta tarikan destinasi oleh syarikat penerbangan," tambah Loke.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN