fb fb fb fb fb

Kerjasama Malaysia-ARM: Permulaan gelombang semikonduktor kedua

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Gelombang semikonduktor kedua Malaysia bermula dengan penubuhan ibu pejabat ASEAN pertama ARM Holdings (ARM) di Kuala Lumpur.

Gergasi semikonduktor terkemuka dari United Kingdom itu bermatlamat memperluas jangkauan ke pasaran ASEAN, Australia, dan New Zealand.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerjasama itu menandakan peralihan pendekatan negara terhadap semikonduktor dan teknologi masa depan.

Sekali gus terus memperkukuh Malaysia sebagai hab pengeluaran semikonduktor bernilai tinggi dan menerajui pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) untuk pasaran dunia.

"Hari ini, kerjasama Malaysia dengan ARM menandakan permulaan gelombang kedua semikonduktor.

"Ini menandakan satu perubahan asas dalam pendekatan kita terhadap semikonduktor dan teknologi yang akan menentukan masa depan kita.

"Melalui kerjasama menyeluruh dengan ARM, kita merangka satu pelan teknologi paling bercita-cita tinggi yang pernah disaksikan Malaysia, untuk menerajui pembangunan cip AI, Made by Malaysia.

"Cip ini akan direka bentuk, dibuat, diuji, dan dipasang di sini sebelum dipasarkan ke seluruh dunia," kata Anwar menerusi ucap tama beliau pada majlis pelancaran Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor di sini, hari ini.

Kolaborasi itu berdasarkan tiga ciri utama.

Pertama, melibatkan pembangunan program latihan komprehensif kepada 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu.

Selain itu, syarikat Malaysia yang terpilih berpeluang mendapat akses istimewa kepada teknologi dan portfolio harta intelek canggih ARM.

Juga, memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan.

Dalam pada itu, kerjasama strategik Malaysia dan ARM membuka peluang kepada syarikat tempatan melonjak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian bekalan global semikonduktor.

"Negara kita sebenarnya sudah lama dalam bidang semikonduktor, kira-kira 50 tahun sejak tahun 70-an.

"Tapi fokus kita hanya dalam test assembly dan kita nak move up the value chain di mana kita mahu syarikat-syarikat kita bukan sahaja buat test assembl, kita nak buat ic design, fabrication dan juga packaging," kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Kami berhasrat untuk membangunkan rantaian bekalan yang lengkap dalam industri berteknologi tinggi seperti pelayan data AI, kenderaan autonomi, IoT (Internet Kebendaan), robotik, dan lain-lain.

"Menerusi perspektif ekosistem, ini juga bermakna kami akan mengutamakan pemain tempatan sebagai pilihan utama dalam setiap bahagian rantaian bekalan," kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM