KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk membangunkan, melaksanakan serta meningkatkan kesihatan buah pinggang dalam kalangan rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kerjasama berterusan itu merupakan langkah penting untuk memperluas akses kepada rawatan bagi menyelamatkan nyawa.
"Menangani peningkatan penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan penyakit buah pinggang peringkat akhir memerlukan pendekatan kolaboratif.
"Kerjasama berterusan antara kerajaan, penyedia penjagaan kesihatan, dan rakan kongsi industri adalah penting untuk memperluas akses kepada rawatan yang menyelamatkan nyawa dan menggalakkan intervensi awal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di ibu negara.
Bagaimanapun KKM telah memperkenalkan Dasar Pertama Dialisis Peritoneal (PD) sebagai rawatan utama untuk pesakit Penyakit Buah Pinggang Tahap Akhir (ESKD).
Sehingga kini terdapat kira-kira 53,000 pesakit ESKD yang menjalani dialisis.