fb fb fb fb fb

Kerjasama JAPEN dan MCMC, mampu perkasa penyebaran maklumat kepada awam

Ketua Pengarah JAPEN, Juliana Johan

BACHOK, 8 Jun- Jabatan Penerangan (JaPen) di setiap negeri diseru untuk menjalankan kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar dapat memainkan peranan berkesan dalam penyebaran maklumat termasuk inisiatif-inisiatif kerajaan agar sampai kepada sasaran.

Ketua Pengarahnya, Juliana Johan berkata kerjasama erat itu perlu dalam memperkasa Komuniti MADANI selari dengan penjenamaan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Beliau berkata saranan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi adalah baik dan Komuniti MADANI serta NADI, harus menjadi pasukan hadapan dalam menangkis tohmahan yang tidak benar terhadap kerajaan.

Katanya, Komuniti MADANI berperanan dalam menyebarkan maklumat termasuk inisiatif-inisiatif kerajaan kepada komuniti setempat, manakala NADI berperanan meningkatkan pemahaman komuniti mengenai program dan inisiatif kerajaan seperti AI untuk rakyat, pusat sebaran maklumat mengenai program, aktiviti, dan senarai bantuan kerajaan.

Menurutnya, sehingga kini terdapat sebanyak 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara termasuk 135 di Kelantan.

"Ia adalah satu usaha yang baik dan saya rasa usaha ini perlu diberi sokongan. Maka sebab itulah, saya menyeru semua JaPen negeri dapat melaksanakan kerjasama strategik dan dapat mewujudkan sinergi antara Komuniti MADANI dengan juga NADI di bawah MCMC."

"Itu yang kita harapkan, moga program ini dapat memberi kelebihan kepada Komuniti MADANI dan juga NADI serta secara amnya seluruh rakyat Malaysia," kata Juliana kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI di Kampung Wakaf Aik, Bachok, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md. Nor dan wakil SKMM, Fazli Yusof.

Tambah Juliana, setakat ini kerjasama antara Komuniti MADANI dan NADI di semua kawasan amat baik terutama dalam membantu masyarakat setempat mempelajari dan memperolehi maklumat yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Pihaknya juga sentiasa bersedia untuk menerima idea baharu sekiranya ia memberi kebaikan kepada komuniti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM