VIENTIANE, 11 Oktober- Malaysia menggesa kerjasama antara negara anggota ASEAN dan Australia diperkukuhkan, terutama dalam bidang pembangunan modal insan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia Keempat menekankan kepada kerjasama dalam sektor utama termasuk keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan tenaga bersih.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengutamakan pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran penting yang diperlukan dalam bidang yang sedang berkembang ini.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengetuai delegasi negaranya pada sidang kemuncak itu, sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan yang diadakan di sini.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Australia atas kejayaan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne pada Mac 2024, yang meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Australia.
Beliau turut menggesa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perniagaan yang diteraju wanita di ASEAN untuk memanfaatkan sepenuhnya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).