fb fb fb fb fb

Kerja naik taraf tiga jeti di Daerah Langkawi bakal dilaksana secepat mungkin - Sanusi

FOTO BERNAMA

LANGKAWI, 2 Februari- Peruntukan bagi menaik taraf kemudahan Jeti Kuah, Jeti Pulau Tuba dan Jeti Teluk Baru di Daerah Langkawi, Kedah yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan disambut baik kerajaan negeri Kedah.

Kos melibatkan peruntukan sebanyak RM15 juta tersebut disalurkan melalui Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Disember 2022.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kerajaan negeri akan memastikan kerja menaik taraf ketiga-tiga jeti ini akan dilaksanakan secepat mungkin bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Langkawi.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Kewangan yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk kita menaik taraf tiga jeti ini," kata Sanusi kepada pemberita RTM selepas Majlis penyerahan geran dan Hari Apresiasi Daerah Langkawi di Pejabat Daerah Langkawi, hari ini.


(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor/BERNAMA)

Tambahnya, peruntukan itu amat penting dalam memulihkan semula ekonomi pulau bebas cukai itu, yang telah terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik COVID-19 lalu.
 
Selain itu, ia juga amat memberi makna bagi penduduk Langkawi dan Pulau Tuba khususnya yang sering berulang-alik ke tanah besar atas pelbagai urusan.

Beliau berharap keprihatinan yang ditunjukkan ini akan diteruskan dalam pelbagai urusan lain bagi mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.


Media Baharu