
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Segala proses perolehan aset strategik pertahanan negara yang sebelum ini dilaksanakan secara tender terbuka akan, wajib dinilai dan diiklankan semula.
- Proses perolehan aset strategik kini wajib dinilai dan diiklankan semula menerusi tender terbuka.
- Keanggotaan Lembaga Perolehan diperkukuh dengan syarat kompetensi jelas dan wakil rentas kementerian serta perkhidmatan.
- Penetapan semula komposisi jawatankuasa mengetatkan penilaian teknikal dan kewangan serta pemuktamadan perolehan mengikut had nilai.
Ia sebahagian daripada kerangka tadbir urus baharu yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) bagi merombak sistem perolehan Kementerian Pertahanan (MINDEF) secara menyeluruh.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan yang tidak melibatkan aset strategik seperti perkhidmatan pembersihan, kawalan keselamatan tanpa senjata api dan pembekalan barangan am pejabat boleh diteruskan tanpa perlu melalui proses penilaian atau pengiklanan semula.
“Aset strategik merujuk kepada perolehan bernilai tinggi yang mempunyai kepentingan kritikal serta memberi impak langsung terhadap kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam sistem pertahanan negara,” jelas beliau.
Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, kerangka tersebut turut memberi penekanan kepada pemantapan keanggotaan Lembaga Perolehan dan jawatankuasa berkaitan.
Ini termasuk menetapkan syarat kompetensi yang lebih jelas serta memastikan penglibatan pegawai yang benar-benar berkemahiran dan berpengalaman.
Antara pembaharuan utama ialah pengenalan elemen keanggotaan rentas kementerian dan rentas perkhidmatan bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Sebagai contoh, Jawatankuasa Sebut Harga Tentera Darat akan turut dianggotai oleh wakil daripada Tentera Laut atau Tentera Udara. Manakala Lembaga Perolehan di Kementerian Pertahanan pula akan melibatkan seorang wakil daripada Kementerian Dalam Negeri.”
Selain itu, proses penilaian teknikal dan kewangan bagi tender terbuka serta sebut harga turut diperketat melalui penetapan semula komposisi jawatankuasa yang terlibat.
Dari segi pemuktamadan perolehan, MOF menetapkan bahawa perolehan secara sebut harga bernilai RM300,000 hingga RM500,000 bagi bekalan dan perkhidmatan serta RM300,000 hingga RM3 juta bagi kerja, hendaklah dimuktamadkan di peringkat Lembaga Perolehan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian.
“Bagi perolehan yang melibatkan produk keluaran pengilang luar negara atau OEM, kaedah tender terbuka antarabangsa perlu dilaksanakan oleh penyertaan dikhususkan kepada pengilang berkenaan,” kata Datuk Seri Mohamed Khaled dalam sidang Dewan Negara.