KUALA LUMPUR, 30 Mei- Pemantapan kerangka insurans sosial negara tidak hanya berasaskan pekerjaan sebaliknya turut meliputi pembangunan individu dan negara secara lebih menyeluruh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) berkata, langkah itu sekali gus dapat membawa kepada anjakan daripada pendekatan bantuan sosial yang berasaskan kebajikan kepada perlindungan risiko mengikut kitaran hidup rakyat Malaysia.
"Insya-Allah, jaringan keselamatan sosial negara dapat terus diperkukuh dan diperluas serta dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak ke atasnya," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mesyuarat itu membincangkan strategi pengukuhan program insurans sosial sebagai persediaan Malaysia mendepani risiko negara tua.
Menjelang tahun 2030, Malaysia bakal menuju ke arah negara tua dan situasi ini berpotensi meletakkan sebahagian rakyat terutama golongan warga emas terdedah kepada pelbagai risiko antaranya kemiskinan, masalah kesihatan dan perubatan, kekurangan simpanan persaraan serta penurunan produktiviti tenaga buruh yang boleh menimbulkan implikasi kritikal terhadap prospek fiskal negara.
Dalam pada itu menerusi satu lagi hantaran berasingan, Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat daripada rombongan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang diketuai Presidennya, Norsyahrin Hamidon.
Pada pertemuan itu, Anwar menegaskan bahawa kepentingan perniagaan Bumiputera perlu didasari dengan prinsip keusahawanan yang tulen.
Kesempatan itu juga digunakan untuk mendengar cabaran dan situasi semasa yang dibangkitkan oleh usahawan Melayu.
"Insya-Allah, perkara-perkara ini akan diteliti agar penyelesaian kepada isu-isu pokok dapat direncanakan," katanya.
DPMM yang ditubuh pada 1938 mempunyai visi sebagai wadah perjuangan ekonomi dan maruah bangsa Melayu serta Bumiputera.
Badan itu kini berdiri kukuh dengan jumlah keahlian mencecah sejuta orang melalui 15 cawangan dan beberapa gabungan.