
KUALA LUMPUR, 13 Januari – Kerangka Akauntabiliti Malaysia memberi penekanan kepada pemantauan berterusan terhadap tahap pelaksanaan setiap agenda reformasi, dengan laporan kemajuan dibentangkan secara bulanan bagi memastikan semua inisiatif dilaksanakan mengikut perancangan.
- Pemantauan berterusan dan laporan kemajuan bulanan memastikan pelaksanaan agenda reformasi mengikut perancangan.
- Kerangka merangkumi pembaharuan perundangan, tadbir urus dan pentadbiran agensi di bawah BHEUU.
- Reformasi berteraskan prinsip Telus, Tegas dan Tertib untuk memupuk keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerangka tersebut merangkumi bukan sahaja pembaharuan dari sudut perundangan, malah melibatkan aspek tadbir urus serta pentadbiran agensi di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU).
Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Akademi Perundangan Negara, selain beberapa institusi sokongan lain yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem keadilan negara.
“Hal ini kerana bahagian undang-undang mempunyai sistem ketelusan dan akauntabiliti dalam negara. Kerangka Akauntabiliti Malaysia memberikan keyakinan kepada para pelabur, sekali gus menyampaikan mesej positif.
“Seperti yang telah dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed sebentar tadi mengenai pasaran modal, kewujudan sistem yang telus serta tadbir urus yang baik membuatkan pelabur tidak berasa was-was untuk melabur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Alliance Strategik antara RDS Partnership dan Deheng Law Offices di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Azalina memaklumkan agenda reformasi undang-undang dan institusi Kerajaan MADANI akan terus diperkukuh sepanjang 2026 dengan memberi tumpuan kepada pembinaan kerangka akauntabiliti negara yang lebih telus, tegas dan tertib.
Usaha itu berteraskan tiga prinsip utama, iaitu Telus, Tegas dan Tertib (3T), bagi memastikan sistem tadbir urus negara berfungsi dengan lebih berkesan serta mendapat kepercayaan rakyat.