fb fb fb fb fb

Kerajaan umum diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri

Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri 2025, seperti diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemberian diskaun itu akan bermula 12.01 tengah malam, 28 Mac 2025 (Jumaat) dan berakhir 11.59 malam, 29 Mac 2025 (Sabtu).

Menurutnya, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan sebanyak RM19.69 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.

“Pemberian diskaun tol ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani sejak 2023 bagi keempat-empat perayaan utama di Semenanjung.

"Ia selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani, iaitu Kesejahteraan dan Ihsan, dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Diskaun tol itu hanya diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Kerajaan menggesa pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang cuti perayaan Aidilfitri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN