fb fb fb fb fb

Kerajaan tumpu pelbagaikan ekonomi Labuan

Antara strategi utama Malaysia adalah memperkukuh rangkaian ekosistem serantau, memacu akses pasaran, memperkasa kapasiti syarikat pemula, serta membangunkan Platform Startup ASEAN sebagai gerbang akses serantau/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kerajaan kini memberi tumpuan kepada pemerkasaan sektor baharu di Labuan bagi mempelbagaikan ekonomi tempatan, yang selama ini banyak bergantung kepada sektor kewangan pesisir serta minyak dan gas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sektor pelancongan merupakan antara strategi utama yang sedang digerakkan, selaras dengan kedudukan Labuan sebagai pulau bebas cukai.

"Dalam masa sama, saya juga telah mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk menerokai beberapa sektor lain," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman di Dewan Rakyat.

Antara sektor berpotensi yang dikenal pasti termasuklah menjadikan Labuan sebagai "Agro Island" dan memajukan sektor ekonomi biru (blue economy) yang bersifat regeneratif.

Namun katanya, perancangan itu berdepan cabaran dari segi saiz tanah pertanian yang terhad di pulau tersebut, iaitu hanya 0.22 peratus atau sekitar 154.45 hektar.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Zaliha berkata, penggunaan teknologi moden serta pertanian pintar boleh membantu mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada.

Dalam sektor ekonomi biru pula, potensi besar dilihat dalam industri perikanan laut dalam seperti tuna yang dijangka mencecah nilai global sehingga AS$50 bilion menjelang 2030.

Kerajaan turut merancang mewujudkan kawasan kajian marin bagi menarik penyelidik domestik dan antarabangsa menetap di Labuan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI