Kerajaan tingkat penanaman kenaf, usaha perkukuh sektor agrikomoditi

Foto BERNAMA

BESERI, 23 Februari– Kerajaan menyasarkan keluasan penanaman kenaf mencecah sehingga 2,500 hektar menjelang penghujung tahun ini sebagai usaha memperkukuh sektor agrikomoditi dan meningkatkan pendapatan petani.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran keluasan penanaman kenaf hingga 2,500 hektar menjelang akhir tahun untuk perkukuh sektor agrikomoditi dan tingkatkan pendapatan petani.
  • Perlis muncul sebagai hab utama dengan Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf memproses 70 metrik tan biji berkualiti tahun lalu.
  • LKTN dan kementerian menyokong kenaf sebagai pengganti tembakau dan pemangkin kepada industri hijau yang lebih lestari.
  • Kementerian terus sokong pemodenan industri dan beri bantuan bayaran hasil biji benih serta sumbangan komuniti.

Kenaf kini tidak boleh lagi dilihat sekadar tanaman sampingan sebaliknya merupakan penyumbang strategik kepada kelestarian industri komoditi negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Perlis dilihat semakin menyerlah sebagai hab utama pembangunan industri ini dengan wujudnya Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf yang mana sepanjang tahun lalu sahaja berjaya memproses sebanyak 70 metrik tan biji benih berkualiti tinggi.

Ini menjadikan Perlis sebagai nadi rantaian bekalan kenaf negara dimana dengan sokongan berterusan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menjadikan tanaman ini bukan sahaja menggantikan tembakau, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan industri hijau yang lebih lestari.

Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus menyokong inisiatif pemodenan industri bagi memastikan pulangan kepada penanam kenaf sentiasa kompetitif.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Negeri Perlis, usahawan kenaf, penanam kenaf, anak yatim dan asnaf serta ibu tunggal di Dewan K3, Bukit Keteri, di sini.

Sempena majlis itu, Noraini turut menyampaikan bayaran hasil biji benih kenaf bagi musim 2025/2026 kepada tiga orang penanam kenaf di Perlis berjumlah RM186,960 serta menyerahkan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 80 asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.