BUKIT MERTAJAM, 11 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak menyorokkan dokumen tambahan berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menyangkal dakwaan itu dan merasakan ia perlu dijelaskan berikutan banyak fitnah ditimbulkan berkenaan perkara tersebut.
"Dokumen tambahan itu disampaikan dan dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya atau ahli Lembaga Pengampunan. Apabila agong berganti ia diserahkan kepada Istana Negara kerana agong yang pengerusikan, itu keadaan dia bukan kita sorok.
"Apa-apa keputusan adalah keputusan mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan tidak di luar. Jadi semasa mesyuarat, semasa saya ada, ia tidak dibangkitkan dan semasa Dr Zaliha juga tidak dibangkitkan. Itulah keadaan dia, bukan kita sorok," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Muhibbah anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di sini.