fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak 'pilih kasih' dalam memberi bantuan - PM

Foto Fail

PUTRAJAYA, 6 Februari- Kerajaan tidak hanya mementingkan penjawat awam semata-mata dalam pemberian bantuan tetapi juga semua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan tersebut termasuk bagi Pekebun Kecil Getah, Pesawah Padi, Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Tambahnya, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah pun dinaikkan sebanyak dua kali.

"Kita tahu dahulu, bertahun-tahun kekal RM2.50. Pada tahun 2023, saya naikkan kepada RM2.70. Tahun ini, kita naikkan lagi kepada RM3.00."

"Jadi, belanja peruntukan itu sekarang ini sudah mencecah RM400 juta, khusus untuk tambahan. Selain STR dan lain-lain bantuan," kata Anwar dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, pagi tadi.

Selain mula membayar Bantuan Pesawah pada tahun 2023, kerajaan juga telah mengambil langkah meningkatkan pendapatan pesawah.

Dalam pada itu, bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kerajaan terus meningkatkan kadar bantuan tunai kepada golongan memerlukan dan bayaran Fasa 1 sehingga RM500 kepada penerima isi rumah telah disempurnakan pada hujung Januari lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM