fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak pernah pinggir agenda Islam di negara ini

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PASIR MAS, 6 Julai- Kerajaan tidak pernah meminggirkan agenda Islam sebaliknya menterjemahkan perkara itu dalam pendidikan Islam di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dibuktikan dengan pelbagai peruntukan disediakan kerajaan dan tidak membuatkan umat Islam terancam, malah agenda tersebut turut didokong oleh parti berbeza dalam Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, kerajaan membuktikan dengan peruntukan perbelanjaan yang besar dalam pembangunan hal ehwal Islam iaitu RM1.9 bilion dalam Bajet 2024 berbanding RM1.4 bilion pada Bajet 2023.

"...saya sebagai saksi hidup apabila rancangan untuk menambah peruntukan kepada pendidikan Islam termasuk Maahad Tahfiz, guru-guru Takmir, guru-guru KAFA dan juga Pra Tahfiz KEMAS. Tiada suara daripada parti yang berbeza dalam Kerajaan Perpaduan yang menentang agenda Islam yang menentang agenda Melayu malah mereka memberikan dokongan.

"...ertinya Islam tidak pernah terancam, melayu juga tidak pernah terancam dalam Kerajaan Perpaduan ini. Janganlah dengar kempen-kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang undinya pada hari ini atau PRK Nenggiri pada masa akan datang insya-Allah. Jangan dengar propaganda sebegini, lihat fakta yang saya sebutkan tadi," katanya demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pelancaran Perayaan Sambutan 30 Tahun Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan di sini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersetuju untuk menyalurkan dana sebanyak RM50,000 manakala FELCRA sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan.

Kesemua peruntukan berkenaan berjumlah RM100,000 itu akan disalurkan dalam tempoh terdekat.

"Sebanyak RM50,000 daripada FELCRA adalah untuk zakat, manakala RM50,000 ialah dana daripada kementerian saya untuk persatuan ini.

"Kerajaan amat prihatin dengan kebajikan pesara kerajaan terutamanya golongan para pendidik," kata Ahmad Zahid.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI