fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti cadangan RSF, baiki indeks kebebasan media

Sidang media selepas Majlis Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) di ibu negara

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Kerajaan akan meneliti cadangan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengenai langkah-langkah bersesuaian bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sebagai Menteri Komunikasi beliau mengalu-alukan kesediaan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu untuk bekerjasama dengan Malaysia.

"Saya adalah Menteri Komunikasi yang pertama yang bertemu dengan pihak RSF. Jadi saya harap pertemuan nanti boleh memaklumkan kepada kerajaan kepada kementerian.

"Kita tidak semestinya terima bulat-bulat cadangan mereka, tetapi untuk kita kaji dengan mendalam dan lihat apakah yang sesuai untuk Malaysia," katanya dalam sidang media selepas Majlis Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) di ibu negara.

Jumaat lalu, RSF telah berkongsi carta Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-107 dengan memperoleh skor 52.07 mata.

Fahmi berkata Indeks Kebebasan Media Dunia itu juga tidak hanya berkaitan dengan Kementerian Komunikasi semata-mata tetapi ia juga melibatkan akta-akta di bawah beberapa kementerian berbeza.

"Sebagai contoh, isu-isu berkaitan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender). Kita tahu pendirian Malaysia mengenai isu itu dan kesesuaian beberapa perkara dalam acuan ASEAN atau (adat) ketimuran," katanya.

Beliau turut membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan yang membandingkan kedudukan Malaysia dengan Israel dalam indek berkenaan.

"Berbeza dengan Israel, kita tak bunuh orang seperti yang berlaku di Gaza. Kita juga tidak tutup mana-mana media seperti yang berlaku semalam, Israel tutup dan geledah pejabat Al Jazeera," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI