PUTRAJAYA, 13 Mac- Kerajaan mengesahkan suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bertujuan membantu melunaskan hutang syarikat itu kepada 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, majoritinya syarikat Bumiputera dalam sektor minyak dan gas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan modal itu adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB, yang turut bertujuan menyelamatkan pekerja tempatan yang masih belum menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka.
"Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan ekosistem industri minyak dan gas tempatan. Saya tegaskan bahawa suntikan modal ini sama sekali tidak memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan lama SEB," katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB, dan pihak pengurusan baharu yang profesional telah dilantik bagi melaksanakan penstrukturan semula tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, proses audit telah pun dilaksanakan dan satu ketekunan wajar (due diligence) tambahan akan dibuat sebagai prasyarat sebelum memuktamadkan suntikan modal itu.
"Hasil due diligence ini juga akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Sekuriti bagi menentukan jika ada keperluan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak," jelasnya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mengutamakan ketelusan dan tatakelola baik, dengan menyatakan bahawa penstrukturan semula SEB telah mendapat kelulusan pemiutang serta melalui proses mahkamah.
"Suntikan ini bukan geran, tetapi pelaburan untuk memulihkan ekosistem minyak dan gas yang strategik bagi ekonomi negara," katanya.