fb fb fb fb fb

Kerajaan Selangor dan KPKM meterai MoU pertanian berimpak tinggi

Foto BERNAMA

KUALA SELANGOR, 26 Februari -Kerajaan Negeri Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melaksanakan projek pertanian berimpak tinggi untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) komoditi makanan di Negeri Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, Menerusi kerjasama itu, beberapa lokasi strategik telah dikenal pasti untuk tujuan pembangunan projek pertanian dan penternakan moden.

Jelasnya, peruntukan yang bakal disalurkan KPKM berjumlah RM24 juta itu melibatkan beberapa projek pertanian yang telah pun bermula sejak awal tahun ini.

"Antaranya adalah Projek Tananam Jagung Bijirin di Kuala Langat Selatan dan Rawang berkeluasan 300 ekar.

"Selain tu ia turut melibatkan, Projek Pembangunan Ladang Lembu Tenusu di Ladang PKPS Sungai Tengi, Projek Tanaman Kontan  di Selangor Fruit Valley dan Projek Gedung Makanan Ehsan Selangor", katanya demikian kepada RTM selepas sesi pertukaran dokumen MoU sempena Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 (Zon Tengah) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis penutup program itu menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD