fb fb fb fb fb

Kerajaan sedia teliti pelaporan keuntungan, kerugian polisi insurans

Lim Hui Ying/RTM

KUALA LUMPUR, 26 Februari- Kerajaan bersedia meneliti kebolehlaksanaan pelaporan lebih terperinci mengenai keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying memaklumkan syarikat insurans dan pengendali takaful tidak diwajibkan untuk menyenaraikan keuntungan dan kerugian bagi setiap polisi secara terperinci.

Bagaimanapun, mereka perlu mengisytiharkan penyata kewangan tahunan selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 17).

Tambah Ying, dalam masa sama, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mempertingkat standard amalan Produk Perlindungan Asas Insurans, Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) dengan menambah baik lembaran penzahiran produk (PDS) yang lebih ringkas dan mudah difahami.

“Penambahbaikan ini bertujuan menggalakkan pemegang polisi lebih memahami terma dan syarat produk MHIT serta membuat keputusan lebih termaklum.

"PDS juga akan menyatakan nisbah tuntutan (claims ratio) pada peringkat industri bagi meningkatkan kesedaran pengguna bahawa sebahagian besar premium diperuntukkan untuk membayar tuntutan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Dewan Rakyat hari ini

Beliau turut menegaskan syarikat insurans dan pengendali takaful dilarang menetapkan semula premium semata-mata untuk meningkatkan keuntungan.

SITI AISHAH MD ISA