Kerajaan sedia pertimbang intervensi tangani cuaca panas dan kering di utara

Operasi pembenihan awan dilakukan bagi pembenihan awan bagi mengatasi cuaca panas dan kering/Foto Bernama

KEPONG, 2 April – Beberapa langkah intervensi akan dipertimbang, termasuk pembenihan awan bagi menangani keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda beberapa negeri di utara Semenanjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri akan bentangkan laporan ramalan cuaca kepada Jemaah Menteri minggu depan.
  • Keputusan mengenai intervensi bergantung kepada perbincangan dan persetujuan Kabinet.
  • METMalaysia telah kenal pasti trend cuaca kering dan panas serta diarahkan hantar laporan berterusan.
  • Ramalan membantu agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan NADMA buat persediaan rapi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada ramalan cuaca semasa yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Pada minggu depan, saya bercadang untuk membentangkan laporan ramalan cuaca berkaitan keadaan kering dan panas ini kepada Jemaah Menteri. Keputusan seterusnya akan bergantung kepada perbincangan kabinet.

Sekiranya ramalan tersebut menjustifikasikan keperluan intervensi seperti pembenihan awan, kita akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan asrama baharu Institut Latihan Perhutanan (Fortrain) sempena sambutan 100 Tahun institusi itu di Kepong, Selangor.

Datuk Seri Arthur menjelaskan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengenal pasti trend cuaca kering dan panas di kawasan terlibat.

Susulan itu, METMalaysia telah diarahkan untuk terus menyalurkan laporan dan ramalan secara berterusan.

“Ramalan cuaca amat penting kerana ia membantu agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan Malaysia dan NADMA membuat persediaan rapi.

”Sekiranya memerlukan intervensi seperti pembenihan awan, makluman awal boleh diberikan kepada agensi berkaitan.

Ia agar langkah sewajarnya dapat diambil bagi mengurangkan kesan daripada keadaan cuaca yang semakin tidak menentu,” katanya.