MACHANG, 4 Februari- Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 116 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif dalam menjana dan meningkatkan tahap ekonomi komuniti seluruh negara bermula April depan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata ia mampu menjadi contoh kepada KRT yang lain dalam usaha memperkasa KRT Progresif, bertepatan dengan aspirasi Rukun Negara untuk membina masyarakat progresif.
Katanya, melalui belanjawan 2024, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi inisiatif tersebut dengan memberi tumpuan kepada lapan bidang antaranya, Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
“Kita sekarang sedang mengumpul butiran setiap KRT, banyak lah data-data yang kita akan kumpulkan. Ia termasuk daripada segi bilangan penduduk, berapa orang yang masih ada tenaga untuk berkhidmat dengan kita, orang muda dan sebagainya dan agensi-agensi lain yang mungkin adakan aktiviti lebih kurang bersama dengan KRT kita," kata Datuk Aaron kepada pemberita dalam sidang media di Majlis Perasmian Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, di sini.
Menurut beliau, kompleks yang telah siap dibina sepenuhnya pada 27 Mac 2019 itu merupakan Kompleks Perpaduan yang pertama di negara ini dengan kos keseluruhan hampir RM9.8 juta.
Pihak kementerian turut menyasarkan untuk membina satu Kompleks Perpaduan di setiap negeri di seluruh negara bagi membantu melancarkan pengoperasian, pengurusan, dan pentadbiran jabatan serta jentera-jentera di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, katanya, di seluruh negara terdapat lebih 8,000 KRT, namun pihaknya akan memilih 116 KRT Progresif melibatkan setiap daerah di negara ini yang mempunyai potensi dari segi ekonomi sekaligus dapat memajukan kawasan berkenaan.