Kerajaan sambut baik mekanisme aduan Majlis Media Malaysia

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, di sini

PUTRAJAYA, 23 Januari -Kerajaan menyambut baik pengumuman mekanisme aduan rasmi oleh Majlis Media Malaysia yang kini telah dibuka dan beroperasi sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan sokong mekanisme aduan rasmi Majlis Media Malaysia untuk urus aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita.
  • Pengurusan aduan diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Media Malaysia sebagai langkah kawalan kendiri industri media.
  • Pendekatan ini dijangka memperkukuh keyakinan awam terhadap media dan memastikan kebebasan media dipelihara secara bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia menjadi saluran profesional serta berinstitusi bagi mengurus aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita.

“Ini merupakan satu saluran yang profesional dan berinstitusi untuk orang ramai, malah pihak berkepentingan, mengemukakan aduan berkaitan amalan kewartawanan, etika media dan kandungan berita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, di sini.

Menurut Datuk Fahmi, pengurusan aduan tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Media Malaysia sebagai langkah ke arah kawalan kendiri isu yang melibatkan industri media.

Tambah beliau, pendekatan berkenaan dijangka memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap media, selain memastikan kebebasan media terus dipelihara secara bertanggungjawab.