
PUTRAJAYA, 16 Mac – Kerajaan merancang untuk membangunkan Madinat Al-Quran, iaitu pusat pencetakan mushaf, pengajian serta penyelidikan Al-Quran di rantau ini.
- Dicadangkan sebagai pusat pengajian, penyelidikan dan pencetakan mushaf utama serantau, dengan kerjasama JAKIM serta universiti tempatan.
- Inisiatif dicadangkan jadi projek ummah melibatkan penyertaan masyarakat Islam dalam dan luar negara, satu idea disokong TPM Fadillah.
- Mushaf Malaysia MADANI hibrid gabungkan seni khat tempatan, kod QR untuk akses digital, panduan tajwid, terjemahan dan audio tilawah antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu dilihat berpotensi menjadi projek ummah yang melibatkan penyertaan masyarakat Islam di dalam dan luar negara.
“Rencana untuk membina umpamanya Madinat Al-Quran, saya insya-Allah dalam satu dua hari akan bincang dengan saudara Abdul Latiff (Pengerusi Yayasan Restu). Ada satu idea yang baik oleh TPM Fadilah, untuk menjadikan ini projek umat, dalam negara dan luar.
Dan menjadikan ini suatu bukan saja gedung, tapi pengisian yang jauh lebih besar daripada yang direncanakan supaya ia mungkin menjadi juga bukan saja pusat pencetakan mushaf tetapi juga untuk menjadikan pusat pengajian, institusi penyelidikan utama di rantau ini. Mungkin kita boleh kerjasama dengan pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan juga universiti-universiti tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Percetakan Bersepadu Nasyrul Quran, hari ini.
Mushaf itu merupakan antara mushaf al-Quran hibrid terawal di negara ini yang menggabungkan keindahan seni khat dan seni Islam tempatan dengan inovasi digital bagi membolehkan masyarakat menghayati kitab suci itu secara lebih interaktif selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Setiap salinan mushaf diintegrasikan dengan kod respons pantas (QR) yang membolehkan pembaca mengakses pelbagai bahan sokongan secara digital seperti terjemahan dalam pelbagai bahasa, panduan tajwid serta penerangan berkaitan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang berkait dengan ayat al-Quran.
Ia turut menampilkan audio tilawah oleh pakar qiraat antarabangsa dari Mesir, Syaikh Ahmad Isa al-Ma’sarawi.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan satu kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf Satu Juta Al-Quran yang mengandungi naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam beberapa bahasa untuk komuniti Muslim di luar negara.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Pengerusi Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa.