BACHOK, 12 April — Kerajaan Persekutuan memberikan reaksi positif terhadap beberapa cadangan projek pembangunan yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Antara projek yang dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan awal termasuk pembinaan Jalan Kota Bharu ke Rantau Panjang, Jalan Pasir Hor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, projek tebatan banjir serta projek berkaitan rawatan air bersih di Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut memberi perhatian terhadap pelaksanaan beberapa projek berstatus ‘projek sakit’ yang perlu dipercepatkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
"Dalam mesyuarat tadi, Perdana Menteri memberikan reaksi positif terhadap beberapa projek yang kita mohon untuk dipertimbangkan dan diluluskan bagi kerja-kerja awal.
"Beberapa projek sakit turut akan dipantau dan dipercepatkan supaya dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, termasuk pembinaan Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU)," katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar tiba di Kompleks Kota Darulnaim pada pukul 8.40 pagi dan disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama barisan Exco dan pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri.
Turut mengiringi Perdana Menteri, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Kemudian, Perdana Menteri menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 peringkat negeri Kelantan yang dijadual berlangsung di Pantai Irama, Bachok.