KUALA LUMPUR, 18 April - Kerajaan Perpaduan dijangka mengumumkan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu minggu depan.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa pengumuman mengenainya akan dibuat sekitar dua hari sebelum penamaan calon dan calon berkenaan sedang dikenal pasti.
Beliau yang juga Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera PRK Kuala Kubu Baharu, berkata calon kawasan itu nanti akan mewakili Kerajaan Perpaduan dan bukan atas nama parti dalam gabungan itu.
”Calon itu daripada Kerajaan Perpaduan, bukan calon dianggap atas nama parti … kita akan memperkenalkan calon itu (sebagai) calon Kerajaan Perpaduan.
“Sesiapa pun yang masuk gelanggang tentunya dengan hasrat untuk menang. Jadi, kita akan susun gerak kerja, dan program-program yang baik untuk meyakinkan rakyat, membawa misi politik yang baik iaitu 'politik kesederhanaan' daripada kerajaan MADANI," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran program rintis Artificial Intelligence Sandbox 2024 antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan NVIDIA di Taman MRANTI, Bukit Jalil di sini hari ini.
Zambry berkata pihaknya juga telah melakukan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya itu untuk melihat keadaan semasa Kuala Kubu Baharu dengan mengambil kira aspek jumlah pengundi, kedudukan lokaliti dan taburan penduduk.
Semalam, Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, telah memutuskan Zambry dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim diberi tanggungjawab bersama menjadi Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera PRK Kuala Kubu Baharu.
PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.