fb fb fb fb fb

Kerajaan Perpaduan kukuh, sukar diganggu-gugat - PM

(Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Ceramah Arus Merah Kuning di Subang Bestari/BERNAMA)

SUBANG, 29 Julai- Kerajaan Perpaduan yang disertai 19 parti gabungan ketika ini adalah kukuh, stabil dan sukar untuk dijatuhkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu jelas berbanding ketika mula mengambil alih kerajaan pada November lepas.

Kini, kesepaduan kesemua pimpinan termasuk mereka yang menganggotai Jemaah Menteri bertambah utuh dan sukar diganggu-gugat.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menasihati pembangkang agar tidak terlalu angkuh untuk cuba mengambil alih Kerajaan Pusat, kerana kerajaan pimpinannya ketika ini mempunyai kesepaduan yang baik.

Ia dibuktikan dengan kesepakatan dua timbalannya yang menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan.

"Kita kukuh saudara, tidak usah sembang hendak harap ambil alih, susah kerana kita kuat dalam kerajaan sekarang. Jangan dengar mereka.

"Saya ambil alih bulan November, ketua PAS dakwa tiga bulan sahaja. Saya kata mereka dapat model mana ni? Walaupun kita yakin, mana tahu bulan Mei sebelum puasa, tapi tidak jadi juga. Lepas raya, tidak jadi juga. Sidang Parlimen akan datang saya beritahu bawa usul, kalau ada usul PAS dan BERSATU ada undi, bawa usul saya tidak akan sekat," kata Anwar di majlis Ceramah Arus Merah Kuning bersempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Selangor di Subang Bestari di sini.

Berhubung PRU DUN Selangor, beliau berharap pengundi dapat membuat pilihan bijak dengan memilih calon-calon daripada parti yang tekad utama mereka adalah menghapuskan rasuah, salah guna kuasa serta terbukti berjaya membangunkan Selangor sehingga menjadi negeri termaju di Malaysia.


(Datuk Seri Anwar berkata Kerajaan Perpaduan kukuh, sukar diganggu-gugat)

Media Baharu