fb fb fb fb fb

Kerajaan Perpaduan bukan diktator, jelas Hassan kepada Ambiga

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyangkal kenyataan Bekas Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan yang mendakwa Kerajaan Perpaduan paling diktakor dalam sejarah pemerintahan negara.

Jelasnya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan kerajaan diktator seperti didakwa dan menyifatkan ia satu tuduhan yang salah.

“Saya menghormati Ambiga mantan pimpinan NGO Bersih dan mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia. Tetapi tuduhan terbaru Ambiga ini saya tidak bersetuju.

“Saya Ahli parlimen dari Parti PKR dan PH yang jadi tunggak kerajaan persekutuan sekarang. Saya nak menyangkal tuduhan Ambiga kerana tuduhan itu salah,” jelas Hassan menerusi catatan di Facebook miliknya.

Beliau menjelaskan bahawa cadangan kerajaan mengenakan syarat terhadap syarikat-syarikat platform media sosial dari luar negara perlu mendapatkan lesen mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia masih boleh dibantah, boleh dipertikai dan boleh disanggah semahunya.

“Tetapi menuduh kerajaan persekutuan terus terus menjadi diktator kerana cadangan itu adalah berlebihan dan tidak adil,” katanya.

Tambahnya sebagai ahli parlimen dipilih oleh rakyat yang menyokong kerajaan persekutuan semasa, walaupun sedar kerajaan ini (semasa) ada kelemahan di sana sini, beliau amat yakin bahawa kerajaan semasa bukan kerajaan dictator.

“Saya yang menceburi dunia politik dari muda semasa mahasiswa sehingga ke usia warga emas kini yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara menafikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ini diktator,” katanya.

Beliau turut mempersoal, bagaimana kerajaan ini dikatakan diktator sedangkan kerajaan tidak pernah menggantung parlimen dengan mengisytiharkan darurat seperti kerajaan Perikatan Nasional sebelumnya?

“Bagaimana kerajaan pimpinan Anwar ini diktator sedangkan di Parlimen Laporan Suhakam dibahaskan? Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC) Parlimen dibahaskan secara terbuka di Parlimen?

“Bagaimana kerajaan persekutuan sekarang jadi diktator sedangkan tiga minggu lalu pada 6 Julai calon yang mewakili Parti Kerajaan persekutuan kalah teruk di PRK Sungai Bakap?

“Adakah kerajaan diktator benarkan berlaku calon partinya kalah teruk macam di PRK Sungai Bakap, Pulau Punang dan kalah sebelum itu di PRK Kemaman, Trengganu,” soalnya.

Susulan itu beliau meminta Ambiga supaya berpada-pada apabila menuduh, menegur atau mengkritik kelemahan kerajaan persekutuan.

MAT YUNUS BIN SABRI