Kerajaan perluas penggunaan BIM, perkukuh industri pembinaan negara

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 11 Februari -Kerajaan terus memperluas penggunaan Building Information Modelling (BIM) sebagai pendekatan utama dalam memodenkan industri pembinaan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperluas penggunaan BIM sebagai kaedah kerja bersepadu untuk memodenkan industri pembinaan.
  • BIM menyelaraskan disiplin profesional bagi mengurangkan percanggahan, pembaziran dan kos pembetulan.
  • MYBIM Satellite Centre menyokong kontraktor kecil dan sederhana menyesuaikan penggunaan BIM untuk projek kerajaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Lingg berkata penggunaan BIM bukan sekadar melibatkan perisian, sebaliknya satu kaedah kerja bersepadu yang mampu meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek serta mengurangkan pembaziran dan percanggahan reka bentuk.

“Memang jelas sejak ia diperkenalkan dan digunakan memang ada peningkatan yang ikut objektif dan sasarannya iaitu kita meningkatkan efisiensi, kecekapan untuk menguruskan pelaksanaan projek-projek dan juga sangat membantu dalam kita mengurangkan kerugian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MYBIM Satellite Centre, di sini.

Menurut beliau, BIM membantu menyelaraskan pelbagai disiplin profesional seperti arkitek, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal serta struktur bagi mengelakkan percanggahan yang boleh menyebabkan kerja pembetulan semula dan peningkatan kos.

“BIM ini sangat memudahkan supaya kita mengurangkan, mengelakkan percanggahan yang boleh merugikan kerana banyak isu yang perlu ditangani,” katanya.

Sejak diperkenalkan secara berstruktur pada 2017, seramai 9,375 pemain industri telah menerima latihan BIM melalui myBIM Centre dan rangkaian satelit di seluruh negara.

Datuk Seri Alexander berkata, perluasan penggunaan BIM juga selari dengan penekanan Perdana Menteri agar industri pembinaan negara mengadaptasi teknologi moden dalam pelaksanaan projek.

“Ini sebagai menyahut kehendak industri pembinaan negara di mana Perdana Menteri sendiri menekankan supaya industri pembinaan di Malaysia ini menggunakan teknologi moden,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi 2026 hingga 2030, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM430 bilion untuk pelaksanaan program dan projek pembangunan negara termasuk sektor infrastruktur dan pembinaan.

Sektor pembinaan disasarkan mencatat pertumbuhan purata sekitar lima peratus setahun sepanjang tempoh tersebut, dengan penggunaan teknologi seperti BIM dikenal pasti sebagai antara instrumen penting bagi meningkatkan produktiviti serta mempercepatkan tempoh siap projek.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan penubuhan MYBIM Satellite Centre melalui kerjasama antara Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dilihat sebagai langkah menyokong agenda transformasi itu.

Ini khususnya dalam membantu kontraktor kecil dan sederhana menyesuaikan diri dengan keperluan penggunaan BIM bagi projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas.