Kerajaan perhalus langkah tangani kenaikan harga bahan binaan

Datuk Seri Dr Ahmad Maslan (kanan) pada sidang media sempena lawatannya ke Akademi Binaan Malaysia Cawangan Sarawak (CIDB) di Petra Jaya, hari ini / BERNAMA

KUCHING, 4 April – Bekalan bahan binaan tempatan kekal mencukupi, namun peningkatan kos pengangkutan susulan krisis Asia Barat menyebabkan kos pembinaan meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan kos pengangkutan, terutamanya kenaikan harga diesel, meningkatkan kos pembinaan dan membebankan kontraktor.
  • Kerajaan mempertimbangkan pemberian Extension of Time (EOT) tanpa implikasi kewangan; sebarang bantuan kewangan perlu kelulusan Kementerian Kewangan.
  • Kementerian, CIDB dan JKR akan berunding dengan persatuan kontraktor serta merujuk DOSM untuk data harga rasmi sebelum keputusan diambil.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, kenaikan harga diesel antara faktor utama yang menambah beban kos kepada kontraktor.

Buat masa ini, kerajaan hanya mempertimbangkan cadangan Lanjutan Masa atau Extension of Time (EOT) kepada kontraktor bagi menyiapkan projek kerana ia tidak melibatkan implikasi kewangan.

“Setakat ini, belum ada keputusan kerajaan untuk bantuan yang melibatkan kewangan. Antara yang boleh dilaksanakan ialah Extension of Time (EOT) kerana ia tidak melibatkan kos tambahan.

Walaupun kita tidak menggalakkan EOT dan lebih mengutamakan projek disiapkan lebih awal, namun itu antara cadangan yang sedang dipertimbangkan,” katanya.

Menurut beliau, sebarang keputusan melibatkan bantuan kewangan tertakluk kepada Kementerian Kewangan.

Dalam masa sama, Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan terus mengadakan sesi libat urus dengan persatuan kontraktor bagi mendapatkan cadangan serta maklum balas berhubung kenaikan harga bahan binaan.

Datuk Seri Dr. Ahmad berkata, semua cadangan akan diperhalusi bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Selain itu, kementerian akan merujuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mendapatkan data harga bahan binaan yang lebih tepat.

“Terdapat dakwaan kenaikan harga bahan binaan antara 30 hingga 40 peratus, namun peratusan sebenar akan ditentukan berdasarkan data rasmi DOSM yang akan diteliti oleh CIDB dan JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Akademi Binaan Malaysia Sarawak di sini.

Tambah Datuk Seri Dr. Ahmad, setakat ini DOSM belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kadar kenaikan harga bahan binaan.

Sebelum ini, kementerian bersama CIDB dan Jabatan Kerja Raya telah mengadakan pertemuan tertutup dengan empat persatuan kontraktor yang mengemukakan anggaran kenaikan berbeza.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mencadangkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menambah dividen kepada kerajaan bagi membantu menangani peningkatan kos susulan krisis Asia Barat.

“Keuntungan bersih Petronas mencecah RM45.4 bilion, namun dividen yang diberikan hanya RM20 bilion. Saya mencadangkan agar ditambah sekitar RM5 bilion lagi,” katanya.

Tahun lalu, Petronas menyumbang dividen sekitar RM32 bilion kepada kerajaan, manakala bagi tahun ini jumlah itu dijangka sekitar RM20 bilion.

Menurut beliau, Petronas sebelum ini turut pernah menyalurkan dividen lebih tinggi ketika pandemik COVID-19.

Tambahnya, kos subsidi minyak meningkat mendadak kebelakangan ini, sedangkan peruntukan perbelanjaan luar jangka dalam Belanjawan 2026 adalah terhad.