fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri tidak punya hak ke atas MAPS - Saarani

Orang ramai ketika berkunjung ke MAPS pada tahun 2018/Foto Marcus Pheong

IPOH, 7 September – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai hak ke atas Taman Tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru Raya.

Saarani berkata, projek taman tema itu tidak melibatkan sebarang dana kerajaan negeri.

“(Kerajaan negeri) bukan membisu, tapi perlu diingat bahawa MAPS bukan lagi milik kerajaan negeri. MAPS adalah di bawah PCB Development Sdn. Bhd. (PCBD) yang telah digulung (muflis).

“Jadi, apa yang kita nak buat? Saya tidak boleh menyentuh harta orang. Razman salah seorang Exco yang lepas, kenapa sekarang (baru) tanya?,”

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 di Ipoh.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria yang mendakwa kerajaan negeri masih mengambil sikap membisu berkaitan tindakan perobohan bangunan MAPS.

Taman Tema MAPS dibangunkan oleh PCB Development Sdn Bhd (PCBD), yang merupakan anak syarikat kepada Perak Corporation Berhad (PCB).

PCB sebelum ini merupakan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia bagaimanapun terpaksa menggulung syarikat.

Berdasarkan laman web Jabatan Insolvensi Malaysia penggulungan syarikat atau likuidasi merupakan suatu proses di mana aset syarikat akan dikumpulkan dan dihasilkan oleh penyelesai bagi tujuan pembayaran hutang syarikat kepada pemiutang.

Terdapat dua jenis penggulungan syarikat iaitu secara terpaksa dan secara sukarela.

Terdahulu tular di media sosial video yang memaparkan bangunan tersebut kini dalam proses perobohan.

Taman tema animasi pertama di Malaysia, yang menelan kos lebih RM520 juta mula beroperasi pada 26 Jun 2017 tetapi terpaksa ditutup pada Januari 2020 akibat masalah kewangan.

MAPS menawarkan 40 tarikan unik dengan enam tema animasi terkemuka dunia seperti Boboiboy, The Smurfs dan beberapa watak animasi dari Dreamworks.

Pihak MAPS yakin taman tema ini dapat menarik 700,000 hingga 800,000 pengunjung sehingga akhir tahun 2017 selepas dibuka kepada umum.

GRACE AISYAH KEDAYAN