fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri Melaka bantu rakyat mendaftar PADU

Ab Rauf merasmikan ‘Recreational Vehicle Park’ Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, malam tadi.

MELAKA, 4 Januari- Kerajaan Negeri Melaka melalui wakil rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) akan membantu bagi pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) kepada rakyat negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia bagi menyokong usaha kerajaan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.

"Kita perlu untuk bekerjasama memberikan sokongan dengan menyeru kepada rakyat Melaka supaya mendaftar segera kerana nak memudahkan nanti sistem penyampaian yang selama ini kita nak mengenal pasti melalui cara lain tapi kali ini kita daftar sendiri dan penilaian itu boleh dibuat sendiri oleh kerajaan untuk memberikan pelbagai faedah kepada rakyat, subsidi program e-Kasih dan pelbagai lagi. Jadi saya menyeru kepada semua rakyat Melaka bolehlah mendaftar dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan RV Park Taman Bandaraya, Bukit Serindit yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman di sini malam tadi.

Pada 2 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU iaitu pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif, menggabungkan semua perangkaan daripada jabatan dan agensi kerajaan.

Pendaftaran PADU kini dibuka hingga 31 Mac ini melibatkan semua rakyat berumur 18 tahun ke atas bagi mengesahkan atau mengemas kini data isi rumah mereka.

Sementara itu, Ab Rauf berkata Melaka bakal mewujudkan lebih banyak tapak karavan atau campervan (van perkhemahan) untuk menarik minat pengembara singgah bermalam di negeri ini.

Katanya, setakat ini terdapat dua tapak karavan diwujudkan iaitu di ‘Recreational Vehicle Park’ Bukit Serindit dan Paya Lebar, Masjid Tanah.

“Campervan ini satu perkelahan yang menggunakan kos paling rendah, ia boleh memberi daya tarikan baharu kepada pemilik karavan yang ada di dalam Malaysia.

“Saya difahamkan ada lebih 1,000 karavan yang bergerak seluruh Malaysia dan mereka ini bernaung di bawah Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM).

“Insya-Allah selepas ini kita akan wujudkan tapak campervan ini di kawasan Pantai Tanjung Bidara, Kuala Linggi dan beberapa lagi kawasan hingga ke Sungai Kesang,” katanya.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga akan memastikan kemudahan dan fasiliti di kawasan tersebut ditambah baik selain menyediakan bekalan elektrik, surau, tandas dan ruangan memasak bagi keselesaan pengguna kenderaan rekreasi.

Sementara itu enam tapak kenderaan rekreasi disediakan MBMB di RV Park Taman Bandaraya, Bukit Serindit yang turut menyediakan kemudahan asas seperti meja berkelah, kaunter memasak, tong sampah dan lain-lain yang dibina dengan kos keseluruhan RM201,401.

ZEHRA BINTI ZAMBRI