TANGGA BATU, 17 Oktober- Kerajaan negeri boleh menawarkan tanah yang strategik dan sesuai kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pembangunan projek bawah Program Residensi Rakyat (PRR).
Kementerian sedia untuk membantu menguruskan pembangunan-nya tanpa perlu pindah milik tanah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Suhaimi Ali@Ahmad berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan urusan pembinaan perumahan untuk rakyat dipermudah dan dipercepatkan prosesnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Kunci PRR Tangga Batu, Melaka.
Di Melaka setakat ini sebanyak lima projek PRR telah dibangunkan membabitkan 1,556 unit rumah termasuk sebuah projek di Klebang yang dijangka siap pada 2025.
Kementerian juga dalam perancangan untuk membangunkan sebuah lagi projek PRR di Bukit Katil membabitkan sebanyak 200 unit rumah yang dijangka mula dilaksana pada tahun hadapan.