TOKYO, 17 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur Jepun bahawa Kerajaan MADANI stabil dengan dasar yang sangat jelas untuk memacu pertumbuhan Malaysia.
"Bezanya sekarang dengan kepimpinan baharu ini, politik sangat stabil dan kami mahu bertindak agresif merancakkan lagi ekonomi Malaysia.
"(Ia) agar mampu menarik pelaburan domestik dan tentunya pelaburan langsung asing," katanya pada persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri di Tokyo, selepas sesi pertemuan bersemuka dengan tiga syarikat utama Jepun, semalam.
Anwar berkata, Malaysia juga sedang menumpukan kepada transformasi digital.
"Saya di sini untuk mendengar pandangan anda, tentang perkara yang perlu dilakukan untuk memudahkan atau mempercepatkan proses libat urus dan pelaburan," katanya.
Anwar, yang sedang dalam rangka lawatan selama lima hari ke Jepun berkata beliau kagum dengan sokongan yang ditunjukkan terhadap Malaysia semasa sesi persidangan meja bulat itu yang disertai 25 syarikat.
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.