fb fb fb fb fb

Kerajaan MADANI komited tambah baik skim lindungi seniman, ahli keluarga

Foto facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 18 Februari- Kerajaan MADANI komited menambah baik skim bagi melindungi seniman dan ahli keluarga terdekat.

Menerusi hantaran di facebook, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan, usaha untuk mencari penyelesaian terbaik bagi membela nasib mereka terus dipergiat.

Beliau turut berkongsi kisah balu kepada pelakon, Allahyarham Abdul Kadir Abdul Manaf, Raja Maharani Raja Jaafar, 70 tahun, yang terpaksa bergantung dengan penumpu oksigen 15 jam sejak Disember akibat masalah paru-paru.

Pemergian suaminya yang lebih dikenali sebagai watak Pak Jabit pada 2017, hanya meninggalkan mereka sekeluarga dengan RM5000.

Keadaan semakin rumit apabila, Raja Maharani ditimpa masalah paru-paru yang menyebabkan mereka perlu menyewa mesin penumpu oksigen sebanyak RM350 sebulan dengan pendapatan anak, RM30 sehari.

Justeru, Fahmi Fadzil tampil untuk menyantuni mereka sekeluarga di Kampung Rantau Panjang, Lanchang Pahang, selain turut menyumbangkan mesin oksigen dan susu formula bernilai lebih RM4,000 bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Usaha bagi membantu keluarga para seniman terus dipergiat, selain mencari penyelesaian terbaik agar masa depan mereka dan keluarga terjamin.

ROSLINA BINTI DIN