fb fb fb fb fb

Kerajaan lulus pemberian vaksin D-TaP kepada ibu hamil

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 13 Mei - Bermula hujung tahun ini, kerajaan meluluskan pemberian vaksin kombinasi difteria-tetanus-pertussis (D-TaP) kepada ibu hamil.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata ia bertujuan bagi melindungi bayi yang baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis.

"KKM sangat berbesar hati dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada program imunisasi yang telah bersama KKM sejak tahun 2013. Program pendidikan komuniti ini membantu KKM melaksanakan aktiviti advokasi, promosi, pendidikan kesihatan berkaitan program imunisasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan dan Sidang Kemuncak Imunisasi Kebangsaan 2024, di sini.

Vaksin tersebut akan diberikan secara percuma di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Sementara itu, Dzulkefly pada sidang media memaklumkan, pemberian vaksin influenza kepada golongan warga emas akan dipertimbangkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, pihaknya bercadang meletakkan agenda itu di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

"Kita tahu bahawa golongan warga emas terdedah kepada risiko. Jadi ia adalah dalam pertimbangan dan saya harap mungkin untuk tahun depan dalam Bajet 2025 atau seterusnya, kita akan mohon untuk dimasukkan dalam NIP khas untuk golongan 65 ke atas," katanya.

Tambah Dzulkefly, golongan itu hanya perlu mengambil satu dos vaksin influenza setiap tahun.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN