fb fb fb fb fb

Kerajaan laksana Program Repatriasi Migran bermula 1 Mac

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution/ Foto: FB KDN

PUTRAJAYA, 31 Januari- Program Repatriasi Migran bagi memberi peluang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara asal tanpa tindakan pendakwaan akan dilaksana bermula 1 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.

"Ia membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta 155 iaitu memasuki Malaysia tanpa pas sah dengan kadar kompaun RM500.

"Bagi Seksyen 15(1)(c) Akta 155 iaitu kesalahan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas dikeluarkan pula dikenakan kompaun RM500.

"Bagi Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu kesalahan melanggar syarat pas pula dikenakan kompaun RM300," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing baharu bagi sektor formal.

Jelasnya ini disebabkan jumlah kuota yang diluluskan dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dilaksanakan mampu memenuhi keperluan pekerja asing.

"Pembekuan permohonan kuota bermula pada 18 Mac 2023 dan akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," ujarnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) pengurusan pekerja asing juga akan diwujudkan semula dan ditempatkan di bawah seliaan kementeriannya.

"Ia bagi membolehkan proses permohonan kuota hingga kemasukan pekerja asing ditambahbaik melalui pengurangan tempoh masa proses kerja daripada 29 bulan 13 hari kepada 15 bulan tujuh hari dengan pengurangan signifikan sehingga 46 peratus. Proses kerja baharu ini akan bermula apabila permohonan kuota baharu dibuka semula nanti," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI