Kerajaan konsisten lakukan siasatan berdasarkan fakta, proses perundangan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pendirian kerajaan kekal konsisten, iaitu untuk menjalankan siasatan berdasarkan fakta dan peraturan yang ditetapkan serta tidak membuat sebarang keputusan yang melangkaui proses undang-undang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menegaskan siasatan dijalankan berdasarkan fakta dan peraturan sedia ada, tanpa membuat keputusan melangkaui undang-undang.
  • Siasatan terhadap dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM dijalankan secara telus dan mengikut prosedur sama seperti kes lain.
  • Peguam Negara mempengerusikan proses kerana skop siasatan diperluaskan melepasi prosedur dan peraturan pentadbiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu susulan siasatan terhadap kes pemilikan saham dan dakwaan manfaat korporat melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Siasatan ketika ini sedang dilaksana secara telus serta berlandaskan peraturan ditetapkan dan tertakluk kepada proses siasatan yang sama seperti kes-kes lain.

“Ikut prosesnya dahulu. Mengapa diberikan pandangan yang sangat keras terhadap satu pihak sedangkan kita diminta hanya mengikuti proses? Biasanya, dalam pertuduhan terhadap mana-mana penjawat awam, kita perlu ikut dahulu laporan daripada penjawat awam.

“Dalam konteks ini, ia lebih tinggi kerana skop siasatan diperluaskan, bukan sahaja dari segi prosedur dan peraturan pentadbiran, tetapi juga skop lain. Oleh itu, Peguam Negara mempengerusikan proses ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkenaan pendirian kerajaan mengenai dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.