fb fb fb fb fb

Kerajaan komited pastikan pendigitalan membangun secara seimbang

Menteri Digital Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Kerajaan terus komited dalam memastikan pendigitalan dapat membangun secara seimbang dengan memaksimumkan faedah dan mengurangkan kesan buruk.

Menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo, kerajaan sentiasa mencari jalan memperbaiki dan membangunkan undang-undang siber yang bersesuaian bagi melindungi maklumat dan hak peribadi.

"Kerajaan lihat kepada beberapa perkara. Pertama, kita ada akta-akta yang perlukan syarikat-syarikat untuk memastikan bahawa sistem keselamatan mereka diperkukuhkan.

"Kita lihat bulan April yang lalu, kita telah pun membentangkan Akta Keselamatan Siber 2024 di Parlimen, itu adalah satu daripada cara dan kita akan buat pindaan kepada Akta Data Perlindungan Peribadi pada sesi ini.

"Pada akhir tahun ini, kita akan membentangkan satu akta yang membolehkan perkongsian data. Itu adalah sangat penting dalam menuju ke hadapan dalam bidang teknologi", katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Anti-Penipuan Bersama-sama Pemimpin kali kedua di ibu negara.

Tambahnya, kerajaan amat menitikberatkan isu-isu ancaman keselamatan siber dan keperluan meningkatkan keselamatan siber pada tahap kerajaan, sektor swasta, pertubuhan dan individu.

 

ROSLINA BINTI DIN