
PUTRAJAYA, 31 Mac – Kira-kira 340,000 pengguna kekal menerima bantuan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) sebanyak RM300 bagi April ini meskipun pasaran tenaga global terus tidak menentu.
- Bantuan BUDI Diesel kekal RM300 bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, termasuk tambahan interim RM100.
- Pembayaran akan disalurkan bermula 8 April dengan peruntukan sekitar RM102 juta untuk menyokong pengguna diesel dan sektor agri-komoditi.
- Kerajaan mempertimbang langkah jangka sederhana dan panjang serta mempertingkat penguatkuasaan untuk memastikan subsidi mampan dan cegah penyelewengan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan peka terhadap tekanan yang dihadapi rakyat susulan kenaikan harga bahan api global.
Tambah beliau, bantuan tambahan interim RM100 turut diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal RM300.
“Bantuan itu akan disalurkan bermula 8 April ini dengan peruntukan sekitar RM102 juta.
“Langkah ini bagi memastikan pengguna diesel, khususnya individu serta sektor agri-komoditi terus menerima sokongan dan tidak terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga bahan api global,” katanya menerusi kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) pada Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, sejak diperkenalkan pada Mei 2024, BUDI Diesel telah membantu meringankan kos sara hidup dengan jumlah bantuan tunai mencecah RM1.12 bilion.
“Kerajaan turut mempertimbang langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus serta terus memanfaatkan rakyat, selain mempertingkat penguatkuasaan bagi membendung penyelewengan,” katanya.
Permohonan BUDI Diesel dibuka sepanjang tahun melalui laman sesawang rasmi https://budidiesel.gov.my.