(Datuk Seri M.Saravanan dalam sidang media di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad)
KUALA LUMPUR, 17 Ogos- Cadangan memperluas Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada golongan suami yang menjadi 'suri rumah' perlu dikaji secara mendalam.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata keperluan pelaksanaannya perlu dikenal pasti, mengambil kira keseluruhan budaya dan gaya hidup masyarakat di negara ini.
Beliau dalam pada itu menggalakkan golongan agar membuat caruman untuk isteri masing-masing bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ini bagi memastikan suri rumah dapat menikmati manfaat jaringan keselamatan khususnya bagi menampung pembiayaan kos kesihatan terutama untuk rawatan penyakit kronik.
"Cuba bayangkan mereka khususnya wanita yang tak bekerja, tiada jaringan keselamatan, khususnya daripada golongan B40. Maka ini adalah satu program yang cukup penting untuk semua wanita khususnya suri rumah tangga yang tiada sebarang jaringan keselamatan dari segi sumbangan walaupun saya kata ini adalah secara sukarela.
"Saya merayu kepada kaum bapa atau pun suami pencaruman bukanlah begitu tinggi sangat, hanya RM10 sebulan sahaja. Maka saya percaya inilah waktu dan masanya suami menunjukkan keprihatinan dan kesayangan terhadap isteri," katanya dalam sidang media di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad di sini.
Bagi suami yang sudah mencarum dalam skim itu namun gagal meneruskan caruman tanpa alasan kukuh, mereka boleh dikenakan denda RM10,000.
Kelonggaran atau pengecualian hanya diberi kepada suami yang hilang kemampuan misalnya hilang punca pendapatan, bercerai atau sebab lain yang boleh dipertimbangkan, dengan memohon kepada PERKESO dalam tempoh 60 hari.
(Kerajaan kaji cadangan perluas SKSSR kepada 'suri rumah lelaki')