
PUTRAJAYA, 6 Februari – Kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan susulan mengembalikan penggunaan perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) adalah sah serta selaras dengan Perlembagaan.
- Kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyatakan penggunaan perkataan "jelik" dan "menyakitkan hati" di bawah Seksyen 233 AKM adalah sah serta berperlembagaan.
- Komunikasi dalam talian yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat menyakitkan hati dianggap kesalahan jenayah.
- Pindaan AKM 2024 mengetatkan definisi "jelik" kepada "jelik melampau" dengan enam huraian jelas untuk mengurangkan penyalahgunaan.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain adalah suatu kesalahan jenayah.
“Pagi tadi, ada keputusan di Mahkamah Persekutuan mengenai kes yang dibawa seorang aktivis dan Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan perkataan jelik dan menyakitkan hati, Seksyen 233 AKM adalah sah dan berperlembagaan.
“Jemaah Menteri menerima baik dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengembalikan dua perkataan tersebut bawah peruntukan Seksyen 233 AKM hari ini, selepas memutuskan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen berkenaan menjadikan sebagai suatu kesalahan jenayah, apa-apa komunikasi dalam talian yang bersifat ‘lucah, tidak sopan, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengacau orang lain.
Pada masa sama, Datuk Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi pada 2024 telah membawa pindaan kepada AKM untuk memastikan akta itu tidak disalahgunakan.
“Pindaan yang dibuat kini meletakkan bukan hanya satu standard ataupun satu tahap lebih tinggi, ia bukan lagi jelik tapi jelik melampau bersama dengan enam huraian yang sangat jelas menyatakan apakah sesuatu itu jelik ataupun jelik melampau.
“Kita percaya dengan pindaan ini insya-Allah Seksyen 233 AKM ini lebih sukar ataupun tidak begitu mudah untuk disalahgunakan,” katanya.