KUALA LUMPUR, 9 April - Penyedia platform dalam talian TikTok dan Meta digesa untuk meningkatkan usaha pemantauan mereka susulan peningkatan kandungan yang memudaratkan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terdapat peningkatan kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top.
"Bagi tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut.
“Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama kedua-dua platform itu semalam bagi memastikan penyedia platform memantau kandungan dengan lebih holistik dan proaktif.
Kenyataan bersama MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut menggesa penyedia platform menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif, dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.
“Selain itu, TikTok dan Meta digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun, serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan, seperti penipuan serta perjudian haram dalam talian,” katanya.
Sementara itu, perkara lain yang dibincangkan termasuk penambahbaikan terhadap keselamatan dalam talian, khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial.
Ujarnya, ini bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan di media sosial.
"Perkara lain yang dibincangkan ialah melihat semula kecekapan algoritma yang memacu Kecerdasan Buatan (AI) dan keupayaan pembelajaran mesin bagi mengesan kandungan 3R, kelakuan tidak sahih tersusun atau sebarang kandungan memudaratkan.
"TikTok dan Meta juga telah disyaratkan untuk menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh, sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat," katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin