PERMATANG PAUH, 5 April- Kerajaan akan berusaha menaikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ke arah itu, Anwar berkata, kerajaan komited untuk terus mencari jalan bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, berita baik untuk penjawat awam akan diumum dalam tempoh beberapa bulan lagi dengan memberi bayangan selewat-lewatnya ketika pembentangan Belanjawan 2025.
“Jadi, dengan cara apapun, kita kena cari jalan naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini. Insya-Allah berita baik ini akan kita umumkan dalam beberapa bulan akan datang, selewat-lewatnya pada Belanjawan tahun ini,
"Jadi, masa Belanjawan, dengar dari mula sampai akhir sebab saya tidak beritahu bila saya akan umum,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di Universiti Teknologi MARA Kampus Permatang Pauh hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pada majlis itu, Zakat Pulau Pinang turut menyampaikan sumbangan wang dan barangan keperluan kepada 20 asnaf dan 10 pelajar.