KUALA LUMPUR, 13 Jun-Pertimbangan khas akan diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan melonjakkan lagi industri sukan negara.
Jaminan itu diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersedia mempertimbang keperluan kementerian meskipun negara berdepan kekangan ekonomi ketika ini.
Ini termasuk permohonan KBS menambah jumlah peruntukkan kepada program Road To Goal sempena Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 serta Program Podium.
"Memang hal ini kita berikan perhatian sedaya upaya sebab kita tidak pandang enteng.Ada kekuatannya.
"Kekuatannya dalam kegiatan aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa, bandar, pedalaman, kaum atau agama. Ia hanya minat yang didukung sebagai satu pasukan dan menanamkan kecintaan kepada negara", katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di ibu negara.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Menterinya Adam Adli.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan PDRM mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah dan pesalah rasuah tanpa mengira status.
Menurutnya, siasatan perlu dibuat secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak demi menegakkan keadilan.
"Saya berikan jaminan sebab timbul keresahan, saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang melindungi penjenayah atau perasuah.
"Kita kena pastikan tindakan profesional dan adil, malah tidak menghukum sebelum ada fakta yang adil mengikut undang-undang.
"Tindakan gopoh dalam menjalankan siastan dan menjatuhkan hukum boleh menyebabkan satu ketidakadilan yang lain.
"Malah hukuman perlu dibuat berdasarkan fakta yang jelas tanpa melibatkan sebarang persepsi," katanya lagi.