KUALA LUMPUR, 22 Julai- Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan pinjaman tahunan negara sebanyak RM86 bilion pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu berbanding RM93 bilion pada tahun lalu dan RM100 bilion pada 2022.
"Pinjaman hanya dibuat jika benar-benar perlu untuk tujuan pembangunan. Pastinya tumpuan ketika ini untuk melunaskan tunggakan.
"Usaha lain termasuklah menangani rasuah dan (menjalankan) cara yang lebih cekap untuk menguatkuasakan undang-undang dan usaha percukaian", katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Pelancaran Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di ibu negara.
Ke arah itu kerajaan turut melaksanakan rasionalisasi subsidi, selain perbelanjaan berhemah dan mengelakkan pembaziran.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri pastikan tiada golongan yang terlepas membayar cukai.
Beliau berkata terdapat sesetengah pihak enggan membayar cukai mengikut masa yang ditetapkan atau tidak membayar cukai sepenuhnya.
"Mesti ada usaha yang lebih tegas, pastikan di kalangan yang wajib bayar, harus bayar dan tidak ada kebocoran", katanya dalam ucapannya di Persidangan Cukai Kebangsaan 2024.