fb fb fb fb fb

Kerajaan ambil maklum hasil kaji selidik Merdeka Center, lihat sudut positif - Fahmi

Fahmi Fadzil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 November- Kerajaan mengambil maklum laporan kaji selidik Merdeka Center berhubung pentadbiran setahun Perdana Menteri dan melihatnya daripada sudut pandang positif, iaitu untuk menambah baik usaha menyelesaikan masalah termasuk isu ekonomi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi termasuk pendapatan rakyat tahun hadapan.

Beliau mengulas laporan kaji selidik Merdeka Center berhubung kadar penilaian kelulusan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Anwar dalam responsnya berkata beliau mengambil maklum perkara itu dan menyatakan bahawa maklum balas itu adalah daripada 1,200 orang dan bukannya 32 juta rakyat Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata hasil kajian berkenaan tidak menggambarkan pandangan keseluruhan rakyat Malaysia, sebaliknya hanyalah daripada sekumpulan responden sahaja.

Beliau berkata rating kelulusan yang diterima Anwar itu lebih meyakinkan berbanding kerajaan sebelum ini, misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu kira-kira 30 peratus dan Tan Sri Muhyiddin Yassin antara 30 hingga 40 peratus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE