fb fb fb fb fb

Keputusan kemasukan ke IPTA boleh disemak 28 Jun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2024/2025 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 28 Jun depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu boleh disemak bermula pukul 12.00 tengah hari pada hari pengumuman hingga 7 Julai pukul 5.00 petang.

"Pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

"Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 29 Jun setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan," katanya.

Keputusan boleh disemak melalui platform atas talian di https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my; https://jpt.umt.edu.my dan aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

Sementara itu pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke universiti awam dan politeknik menerusi https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari tarikh sama.

Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

Bagaimanapun tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

Manakala dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan jelasnya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI