fb fb fb fb fb

Keputusan enakmen Kelantan elak pertindihan kuasa antara Mahkamah Sivil, Syariah - Pensyarah UIAM

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid keluar dari Istana Kehakiman hari ini/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Februari - Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah bertepatan dengan pembahagian kuasa dalam pentadbiran negara, kata Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Quran & Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.

Dr Abu berkata, keputusan dibuat bukan menilai hukum syariat berkaitan umat Islam, sebalik orang ramai perlu memahami bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan ada dua bidang kuasa yang berbeza iaitu bidang kuasa persekutuan dan bidang kuasa Negeri.

Ini bermaksud katanya, apa-apa hukuman yang dilaksanakan mahkamah syariah adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan di peringkat Negeri dan diluluskan Badan Perundangan Negeri.

Manakala, hukuman dilaksanakan mahkamah sivil mengikut undang-undang ditetapkan di peringkat Persekutuan yang diluluskan Parlimen.

"Dan ini antara satu penyelesaiannya bagaimana masalah ini boleh di selesaikan, di elakkan bagi mengelakkan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal sesuatu undang-undang yang akhirnya akan menimbulkan kontroversi dan pertembungan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Maka, apa yang ingin kita jelaskan kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat Muslim di negara ini, bahawa (keputusan) ini tidak melibatkan hukum-hakam Islam," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau turut memetik penghakiman ringkas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa melakukan seks luar tabii itu juga wujud di dalam mahkamah sivil.

"Liwat tetap haram dan hukuman di mahkamah sivil adalah lebih berat berbanding hukuman mahkamah syariah yang mana hukuman mahkamah syariah itu diberi kepada tempoh tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebat tidak melebihi enam kali.

"Namun, di peringkat mahkamah sivil seseorang yang diputuskan bersalah kerana meliwat hukumannya boleh mencapai kepada 20 tahun sebatan dan juga denda.

"Ini bukan bermaksud perbuatan meliwat itu dihalalkan, (dakwaan) itu tidak benar sama sekali. Jangan kita dipengaruhi atas dasar emosi dan kemarahan, tapi lihatlah kepada fakta" jelasnya lagi.

Menurut beliau, dengan keputusan itu akan memberi ruang yang lebih baik kepada hubungan antara Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan beberapa pertindihan dalam enakmen syariah.

Terdahulu, panel sembilan hakim yang diketuai Tengku Maimun memutuskan 16 peruntukan dalam enakmen Kelantan terbatal dan tidak sah selepas keputusan majoriti 8-1 di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguam,  Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen mencabar peruntukan enakmen itu pada 22 Mei 2022.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

GRACE AISYAH KEDAYAN