Keputusan BDR perlu ambil kira penyelarasan antara kerajaan negeri, Persekutuan

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bercakap pada sidang media selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026/ RTM

IPOH, 16 Mac – Kerajaan negeri Perak sedang menunggu hasil kajian menyeluruh oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mempertimbangkan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan mesti mengambil kira penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
  • Perlu nilai keserasian dasar untuk elak kesukaran pengurusan dan operasi.
  • Menilai keberkesanan dan kesesuaian BDR dalam konteks ekonomi, dengan keputusan akhir dijangka dibawa ke Mesyuarat Kabinet.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sebarang keputusan perlu mengambil kira penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau, keserasian dasar antara kedua-dua peringkat pentadbiran penting bagi memastikan pelaksanaannya tidak menimbulkan kesukaran dari segi pengurusan dan operasi.

Ia termasuk menilai kesesuaian serta keberkesanan pendekatan bekerja dari rumah dalam konteks semasa.

“Ia mesti ada keserasian di antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kalau Persekutuan buat, negeri tak buat, kita jadi susah…jadi kena ada keserasian, itu saya ingat kita kena tunggu apa cadangan kerana pada kita pun ia ada perbezaan sedikit bekerja dari rumah kerana COVID-19 dulu adalah kerana faktor keselamatan, kita nak hadkan pertemuan orang ramai tapi yang ini bukan faktor keselamatan, ini adalah faktor lain, ini faktor ekonomi, tengok kesesuaian dan keberkesanan bekerja dari rumah ini,”

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti beberapa mekanisme berkaitan cadangan BDR bagi sektor awam.

Hasil perbincangannya dijangka akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa ini.