fb fb fb fb fb

Keputusan AS tidak luntur komitmen Malaysia terhadap isu perubahan iklim

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Januari - Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain dalam menangani isu perubahan iklim di sebalik keputusan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya akan terus bertemu, berkomunikasi serta meneroka kerjasama dengan semua negara bagi mencari jalan terbaik mengenai isu perubahan iklim.

Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkan ketika pertemuan dengan wakil AS pada Persidangan Pihak-pihak Ke-29 (COP29) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), sebelum ini.

"Itu keputusan mereka (Amerika) tetapi seluruh dunia perlu bertindak dan mencari jalan terbaik. Malaysia akan terus berbincang dan menjaga hubungan kita dengan negara-negara yang kita jalinkan hubungan diplomatik termasuk AS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hasil Konvensyen Rangka Kerja UNFCCC: Pelancaran Laporan Pembabitan Malaysia di UNFCCC-COP29 (Persidangan Ke-29 Pihak-Pihak) dan Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata menerusi penyerahan Biennial Transparency Report (BTR) pertama pada 31 Disember 2024 kepada UNFCCC dalam tempoh masa ditetapkan, Malaysia muncul antara 85 negara daripada 198 negara yang berjaya memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris.

Dokumen itu, mencerminkan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) iaitu pengurangan 45 peratus dalam intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) secara menyeluruh menjelang 2030.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk meneruskan usaha dalam tindakan iklim dan memperkukuh kerjasama serantau selaras dengan aspirasi global.

Beliau turut menyentuh mengenai pencapaian utama Malaysia sepanjang tahun lepas dalam memerangi perubahan iklim yang meletakkan negara ini sebagai peneraju tindakan iklim dalam ASEAN dan di peringkat dunia.

“Selaku Pengerusi ASEAN 2025, kami berhasrat memperteguh suara kolektif ASEAN mengenai tindakan iklim, memastikan ia selaras aspirasi global, dan pada COP30 di Belem, Brazil, kami akan membentangkan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim, yang menumpukan kepada kerjasama serantau, sokongan kewangan, dan laluan pembangunan mampan untuk negara anggota ASEAN,” katanya.

Nik Nazmi turut menyentuh mengenai hasrat Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar menjelang 2050, sambil mengulangi iltizam negara terhadap Perjanjian Paris dan agenda iklim ASEAN. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF